KUALA LUMPUR 7 Mei – Para ibu yang anak mereka tidak lagi tinggal bersama disaran bergiat aktif dalam komuniti demi kesejahteraan diri sekali gus mengelak daripada dilanda sindrom Empty Nest.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, sindrom itu melanda ibu yang kesedihan dan murung akibat sunyi ditinggalkan anak yang memulakan kehidupan baru sama ada untuk melanjutkan pelajaran, bekerja atau berkahwin.
“Sindrom tersebut merupakan tindak balas psikologi yang normal terhadap perubahan dan transisi kehidupan oleh seseorang ahli keluarga. Ia bukan halangan bagi ibu-ibu menikmati kehidupan produktif atau bermakna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga Kementerian Kesihatan 2006 mendapati masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan wanita iaitu 12.1 peratus berbanding lelaki, 10.4 peratus.
“Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula mendapati 41 peratus daripada ibu dan bapa yang berumur 60 tahun ke atas mengalami kesunyian.
“Golongan ibu yang berusia lewat 40-an dan 50-an lazimnya mengalami perasaan yang bercampur-aduk antara kekosongan, kesedihan dan kerisauan berbanding golongan bapa kerana ikatan yang kuat di antara ibu dan anak,” katanya.
Sehubungan itu, Shahrizat menyeru anggota keluarga terutama anak-anak agar sentiasa menghubungi ibu masing-masing walau di mana sahaja mereka berada.
Dipetik dari Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment