Sindrom ini juga ada kalanya tidak membawa petanda tipikal seperti mengasingkan diri, hilang selera makan atau gangguan tidur.
Sebaliknya, ada yang mengalami masalah sengal pada tubuh yang berpanjangan.
Ada juga yang mengalami kesakitan yang tidak dapat dijelaskan.
Di Malaysia, kegagalan seseorang mengenali simptom kemurungan akibat kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah itu, menyebabkan ramai tidak dirawat daripada awal.
Gangguan ritma sirkadian yang berlaku akibat perubahan kitaran tidur juga dikenal pasti sebagai antara punca utama kemurungan. Ia juga penyakit keempat paling berbahaya di Malaysia dan memberi kesan hingga 10 peratus dalam populasi negara.
Kesilapan sewaktu diagnosis atau rawatan yang tidak optimal terhadap masalah kemurungan serta kurangnya perhatian diberi kepada perubahan ritma sirkadian yang mengawal fizikal, mental dan corak tingkah laku yang secara kasarnya mengikut kitaran 24 jam, dilihat terus mengganggu proses rawatan penyakit ini.
Menurut mantan Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean, (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, sebanyak 82 peratus pesakit mengalami kemurungan masih belum dirawat disebabkan stigma masyarakat, tersalah diagnosis serta tidak mendapat rawatan sepenuhnya.
“Semakin ramai pesakit yang mengalami kemurungan dirawat oleh doktor biasa dan bukan pakar psikiatri. Malah, kebanyakan mereka tidak didiagnos manakala baki 18 peratus lagi diberi ubat antikemurungan dan cuma 10 peratus dirawat dengan sewajarnya.
“Justeru itu, pemahaman mengenai kaitan di antara gangguan ritma sirkadian dan kemurungan mesti dipertingkatkan agar dapat meningkatkan tahap mengenal pasti dan pengurusan penyakit ini,” katanya sewaktu ditemui pada bengkel media anjuran syarikat farmaseutikal, Servier Malaysia Sdn Bhd, sempena Bulan Kesihatan Mental di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelasnya, kemurungan menjadi antara alasan paling biasa bagi orang ramai berjumpa pengamal perubatan awam. Diagnosis jitu dan lebih fokus terhadap gangguan ritma sirkadian mampu menyediakan platform berkesan untuk merawat gangguan perasaan.
Gangguan ritma sirkadian adalah kecelaruan dalam ‘jam dalaman tubuh’ seseorang yang mengawal proses biologi, misalnya aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel dan aktiviti biologi yang ada hubungan dengan kitaran ini.
Ritma sirkadian juga boleh mengubah kitaran tidur jaga, pembebasan hormon, suhu badan dan fungsi penting tubuh lain. Ritma biasa waktu malam dan siang mengawal kehidupan kita.
Ia dikaitkan dengan perubahan bisa terhadap suhu utama badan, tahap hormon, kadar degupan jantung, perkumuhan ginjal dan pergerakan usus.
Ciri-ciri kemurungan yang menunjukkan gangguan ritma sirkadian termasuk terjaga awal, tiada ‘mood’ waktu pagi, perubahan corak tidur, perubahan suhu badan dan aktiviti hormon.
Perunding Psikiatri Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Azhar Md Zain, berkata gangguan ritma sirkadian ditemui di kalangan pesakit yang mengalami masalah kemurungan teruk.
“Tekanan juga antara faktor utama penyumbang ke arah kemurungan disebabkan pelbagai peristiwa hidup yang traumatik (kesedihan akibat kematian, peperiksaan selain masalah kesihatan dan kewangan), persekitaran psikososial hinggalah penyakit somatik.
“Peristiwa ini menyebabkan ritma sirkadian tidak lagi selari dan menyebabkan berlakunya gangguan biologi, fisiologi dan tingkah laku di kalangan pesakit yang mengalami kemurungan.
“Misalnya, tekanan di tempat kerja disebabkan kegagalan menguruskan prestasi dan jangkaan mungkin membawa kepada kesukaran memulakan dan mengekalkan tidur,” katanya.
Beliau menambah, keadaan ini menyebabkan kesukaran sewaktu bangun waktu pagi dan perubahan mood pada waktu pagi, kekurangan tenaga dan semangat, tiada selera serta konsentrasi terganggu.
Selain itu, individu berkenaan kemudian secara perlahan-lahan akan menyisihkan diri. Dalam jangka panjang, ia bukan sekadar memberikan kesan terhadap keadaan mentalnya, malah tahap kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhannya.
Ritma sirkadian penting dalam menentukan corak tidur manusia. ‘Jam dalaman’ tubuh mengawal pengeluaran melatonin, hormon yang membuatkan anda berasa mengantuk.
Memandangkan pencetus hormon berada di bawah saraf optik yang menyampaikan maklumat daripada mata ke otak, ia menerima maklumat mengenai cahaya yang datang. Disebabkan itu, apabila ada sedikit cahaya, tahap melatonin tubuh meningkat dan kita akan berasa mengantuk.
Jelas Dr Azhar, kemurungan adalah bentuk gangguan lazim. Gangguan ritma sirkadian ada kaitan dengan kemurungan yang kurang diberi perhatian tetapi kini wujud pendekatan baru terhadap rawatan yang secara tradisionalnya difokuskan kepada gangguan pemancar saraf.
“Ubat antikemurungan yang tertumpu kepada gangguan pemancar saraf (neurotransmitter) digunakan secara tradisional. Pun begitu, fokus kini terhadap penggunaan agomelatine yang berfungsi secara menyeluruh dengan tumpuan kepada saraf penerima melatonergic dalam otak,” katanya.
Diambil ketika hendak tidur, agomelatine bertindak menyelaraskan kembali ritma sirkadian dengan meningkatkan kualiti tidur.
Tidur mempunyai kesan pemulih terhadap proses fizikal dan mental. Malah, tidur juga adalah komponen penting dalam kesihatan fizikal dan mental yang baik, di samping penting bagi fungsi kognitif yang optimum.
“Ada beberapa jenis gangguan tidur seperti insomnia, apnea tidur, sindrom kaki resah dan narkolepsi yang mempunyai hubungan dengan gangguan ritma sirkadian,” demikian dijelaskan perunding psikiatri, Dr Ting Joe Hang.
Beliau menjelaskan, dianggarkan 10 hingga 35 peratus populasi awam mungkin mengalami beberapa bentuk gangguan tidur. Malangnya, lebih separuh daripada yang mengalami masalah tidur lena, langsung tidak mendapatkan nasihat perubatan.
“Gangguan ritma sirkadian tidak semestinya berkaitan dengan kemurungan dan ia sering disalah diagnos sebagai insomnia atau kondisi psikiatri.
“Bagaimanapun, gangguan ritma harian (jet lag) atau kerap mengembara merentasi zon waktu, bekerja syif bagi tempoh lama dan sindrom fasa tidur yang ditangguh (tidur dan jaga, terjaga pada tengah malam) boleh mengubah ritma sirkadian kita dan menyebabkan kemurungan.
“Kebanyakan pesakit yang mengalami kemurungan menghadapi masalah tidur.
Namun, tidak semua yang mempunyai masalah tidur mengalami kemurungan. Penilaian berhati-hati penting untuk merangka rawatan termasuk ubat-ubatan, kaunseling dan terapi,” katanya.
Simptom kemurungan
No comments:
Post a Comment