Pages

Monday, August 22, 2011

Tekanan semasa bekerja

Bapa hilang di bukit


KUALA NERANG: “Pada mulanya, saya perhatikan bapa dari jauh kerana dia marah kalau ditegur, tetapi dia langsung tidak menyahut dan menoleh ke belakang sebaliknya terus berjalan menuju ke bukit itu walaupun dipanggil berulang kali,”.

Begitu kata Mohd Firdaus, 29, anak Azmi Sidek, 59, yang menghilangkan diri selepas dilihat berjalan seorang diri ke kawasan Bukit Perik di Kampung Baru Lembah Permai, di sini dan gagal dikesan sejak Rabu lalu.

Mohd Firdaus berkata, bapanya yang juga bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bakti, di sini, keluar rumah dengan memakai baju kemeja lengan panjang berputih, kain pelekat serta berkopiah putih, jam 2 petang.

“Bapa pernah mengalami tekanan perasaan sejak menjadi guru lagi kerana rekod kesihatan menunjukkan dia pernah mendapatkan rawatan doktor pakar beberapa tahun lalu.

“Mungkin masalah itu terbawa-bawa sehingga dia pencen selain bapa sering bercakap seorang diri sejak setahun lalu tanpa mahu menyambung kerja kerana tertekan dengan tugasnya.

“Sebelum ini, dia pernah keluar rumah tetapi beberapa jam selepas itu pulang ke rumah, tetapi kali ini bapa terus menghilangkan diri menuju ke Bukit Perik yang terletak berhadapan dengan rumah kami,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Mohd Firdaus berkata, bapanya juga kadang-kadang mengalami penyakit nyanyuk tetapi akan baik semula selepas makan ubat mengikut arahan doktor.

“Sejak pencen, bapa sering mengalami kemurungan dan bercakap seorang diri tanpa sebab, tetapi kadang-kadang sihat dan waras seperti orang lain. Kali terakhir bapa mendapatkan rawatan doktor pakar pada Jun lalu.


“Kami perasan macam ada sesuatu yang membelenggu bapa sehingga dia sering menyebut yang bukan-bukan. Sudah puas berubat tetapi penyakit misteri ini sering mengganggu dirinya,” katanya.

Tekanan akibat Putus Cinta

Pelajar IPTA cedera rakan kelar leher

Seorang pelajar lelaki sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Merbok dekat Sungai Petani cedera apabila lehernya dikelar oleh rakannya kira-kira jam 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali berkata ketika kejadian mangsa Mohd Khairil Amir Zulkifli, berumur lingkungan 20-an, sedang tidur dalam bilik asramanya di IPTA berkenaan.

"Suspek mengelar leher mangsa ketika mangsa sedang tidur dan kita tidak pasti lagi sama ada suspek tersebut rakan sebiliknya atau tidak dan ia masih dalam siasatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Sungai Petani hari ini.

Katanya, suspek bertindak demikian kerana dipercayai berada dalam keadaan tertekan dan tidak dapat berfikir dengan waras sehingga cuba untuk membunuh mangsa.

"Dipercayai suspek baru putus cinta sehingga memberi tekanan kepadanya, fikiran jadi tidak menentu dan akhir sekali telah mengelar leher mangsa," katanya.

Hashim berkata mangsa yang berasal dari Kangar, Perlis telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala suspek belum dapat dikesan.

Tuesday, August 9, 2011

Masalah Stres semakin meningkat

11 Peratus Pelajar Kelantan Hadapi Masalah Mental 

KOTA BARU: Antara 10 dan 11 peratus remaja khususnya pelajar di Kelantan menghadapi masalah mental dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini.

Ketua Jabatan Psikiatri HUSM Prof Madya Dr Mohd Jamil Yaacob berkata mereka ini, yang termasuk murid sekolah rendah, adalah antara lebih 700 pesakit yang menerima rawatan setiap bulan di klinik psikiatri hospital itu termasuk kes berulang.

"Ini adalah fenomena baru dalam masyarakat kesan tekanan hidup dalam kekeluargaan dan pelajaran di dunia yang semakin mencabar sekarang," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah HUSM Datuk Dr Zaidun Kamari.

Mohd Jamil berkata kebanyakan pelajar yang menghadapi masalah mental itu adalah disebabkan faktor keturunan, masalah keluarga di rumah dan persekitaran sekolah.

Katanya peningkatan jumlah pelajar yang menerima rawatan itu berikutan kesedaran orang ramai terhadap peranan dan tugas yang dimainkan oleh klinik psikiatri dalam menyelesaikan pelajar yang menghadapi masalah itu.

"Sebelum ini, ramai ibu bapa enggan datang ke klinik psikiatri kerana tidak sanggup menerima tanggapan negatif masyarakat yang menganggap mereka datang ke klinik berkenaan sebagai penghidap penyakit jiwa," katanya.

Untuk menghilangkan tanggapan negatif itu juga, Jabatan Psikiatri HUSM mengambil inisiatif menamakan klinik ini sebagai "Klinik Bimbingan dan Remaja" sejak 2002.

Selain itu, katanya, petugas jabatan itu mengadakan lawatan ke sekolah bagi memberi khidmat bimbingan terapi kepada pesakit terbabit.

Zaidun pula berkata tahap penerimaan masyarakat dalam mendapatkan rawatan mental di hospital lebih tinggi berbanding sebelum ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya mendapat kemudahan kerajaan, khasnya daripada Jabatan Kebajikan masyarakat. - BERNAMA

Sumber : MStar Online